Pengerusinya, Ku Hwa Seng berkata, pembangunan bersepadu dengan ukuran lantai kira-kira 18,580 meter persegi tersebut turut melibatkan pembinaan hotel dengan 400 bilik dan tiga blok pangsapuri perkhidmatan.
Katanya, pembangunan tersebut akan memenuhi keperluan populasi yang berkembang pesat di Klang meliputi kepadatan sebanyak 1.2 juta orang pada 2014.
“Membangunkan pusat beli-belah dan hotel bersepadu ini bukan sahaja sejajar dengan perkembangan ekonomi di Klang, tetapi juga merupakan proses semula jadi bagi KSL selepas membina bandar kami, Canary Garden @ Bandar Bestari di kawasan itu.
“KSL City Mall yang sedia ada dan Hotel Resort di Iskandar Malaysia telah menjadi kejayaan besar dengan kadar penghuni lebih daripada 90 peratus.
“Matlamat kami adalah untuk membuat perkara yang sama di Lembah Klang, yang pasti akan pergi jauh dalam meningkatkan segmen pelaburan hartanah kumpulan pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, KSL City Mall 2 mudah diakses melalui Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan Lebuhraya Shah Alam (Kesas) serta dijangka dapat memanfaatkan Transit Aliran Ringan (LRT) fasa tiga pada 2020.
Menurutnya, pusat beli-belah dan hotel bersepadu terbabit dijangka siap menjelang 2018.
Tambahnya, pembangunan KSL City Mall 2 akan terus mengukuhkan segmen pelaburan hartanah kumpulan.
“Ketika ini, segmen pelaburan hartanah menyumbang sebanyak 20 peratus kepada perolehan kumpulan dan kami menjangkakan ia akan tumbuh kepada 30 peratus pada masa depan,” ujarnya.







